BLOG KE-2 - WEDDING

Friday, September 4, 2009

..::Jubah Untuk Ibu last episode ::..

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along
tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu.
Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum
menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II.
Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira
yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan
terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat
perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan
mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar
yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along
membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu
dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang
tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan
kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar
dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya
berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan
itu, Along melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya sedang
berlari ke arahnya.. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang
wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali
apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada
ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih
memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari
kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan
semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya
itu. “Ha..hadiah….untuk….ibu………” ucapnya sambil berusaha mengukir
senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu
begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali.
Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan
Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air
hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam
pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along
bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan
bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna
merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. ‘Buat
ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini.
Andai along melukakan hati ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah
maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu,
Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah
hadiah ini…..UNTUKMU IBU!’ Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang
bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang
dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih
dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang
melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus
mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya
selama ini. “Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah
langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan
saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja
cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan
Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa
Azam seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan
gila…” cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya.
Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana
kesalahan menumbuk Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada
makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik
sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak
makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang
makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak
sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula....”
Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran
bagi pihak sahabatnya itu.

Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota
badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh
hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang
selama ini dianggap derhaka.

Untukmu Ibu

When you speak with your eyes, you tell more than just one story...

2 comments:

sharamli said...

al0ng memang anak yg baik...

Cik Cookie said...

sharamli,
xkira along.angah atau achik.semuanya baik.